July 27, 2009

Dakwah bukan tugas ustaz sahaja?


Sering kali aku mendengar alasan orang yang tidak ingin membuat dakwah. Ada yang kata “saya ni tiada ilmu, macamana nak buat dakwah?” Lagi “saya ni bukanlah ustaz, takkan saya nak wat dakwah?” lagi dan lagi “boleh ke saya dakwahkan kepada orang lain sedangkan saya sendiri tidak mengamalkannya?” Emmm macam-macamlah lagi soalan yang biasa diajukan oleh kengkawan yang tidak mahu lakukan kerja dakwah.


Sebenarnya, apabila sebut je perkataan dakwah, yang terlintas di kotak pemikiran kita bagi perkataan ini adalah seorang yang mempunyai ilmu agama atau dipanggil ustaz memberikan ucapan atau memperkatakan serta mengajarkan kepada khalayaknya berkenaan dengan Islam.


Bentuk gambaran macam ni telah membuatkan kerja dakwah seolah-olah hanya dimiliki oleh golongan yang mempunyai ilmu agama semata-mata. Hakikatnya, pemikiran dan tanggapan ini amat jauh sekali dan langsung tidak menepati roh dan semangat dakwah itu sendiri.


Sebenarnya kerja dakwah yang mulia ini merupakan tugas yang sepatutnya bukan dipikul oleh golongan ustaz sahaja bahkan terpikul di atas bahu kesemua umat Islam yang mesyahadahkan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah.

Jika kita membuka dan menyorot isi kandungan al-Quran, terdapat banyak sekali nas yang menyentuh persoalan dakwah serta tanggungjawab umat Islam dalam menjayakannya.


Firman Allah s.w.t kepada Rasul s.a.w :


“Katakanlah, inilah jalanku iaitu aku menyeru kepada Allah s.w.t dengan penuh kebijaksanaan dan orang-orang yang mengikutiku, mereka juga (menyeru kepada Allah s.w.t)” (Yusuf: 108)


Jelaslah bahawa jika kita ini pengikut nabi Muhammad s.a.w maka hendaklah kita semua orang Islam untuk melaksanakan kerja dakwah.


Antaranya lagi firman Allah yang mafhumnya:


“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran: 104)


Daripada ayat ini, amat jelas kepada kita satu perintah Allah supaya umat Islam membentuk diri mereka dan menjadi umat atau kelompok manusia yang sentiasa menyeru kepada kebaikan iaitu Islam, menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah dari berlakunya kemungkaran.

Satu persoalan yang patut diambik dengan teliti oleh umat Islam bahwa penglibatan dalam dakwah sebenarnya mempunyai hubungkait yang rapat dengan menifestasi kepada keunggulan iman kepada Allah dan ketinggian kedudukannya disisi Allah.


Dakwah yang dirintis oleh seorang Muslim bukan sahaja satu usaha untuk menyampaikan risalah Islam kepada khalayak bahkan merupakan satu terjemahan yang jelas terhadap ketinggian keimanan seseorang itu kepada Allah s.w.t.

Persoalan inilah yang pernah dititipkan oleh Rasul pembawa risalah dalam sebuah hadisnya yang sahih lagi masyhur. Sabda Nabi s.a.w yang mafhumnya:

“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya (kuasa yang ada pada seseorang) jika dia tidak mampu maka ubahlah ia dengan lidahmu, jika dia tidak mampu maka gunakanlah hatinya (dalam membenci dan tidak meredai berlakunya kemungkaran itu) dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis secara literalnya mengungkapkan persoalan tentang langkah-langkah yang patut diambil seorang muslim itu dalam usahanya mencegah kemungkaran. Tetapi di sebalik mafhumnya yang mendasar diungkapkan persoalan Iman yang mempunyai konotasi yang rapat dengan dakwah.

Kita patut risau, hari ni ramai umat Islam yang tidak gelisah dan tidak membenci apabila perkara kemungkaran berlaku di depan mata atau tempat lain. Benci pun tidak, malah orang sekarang tiada rasa malu bila lakukan atau tengok perkara mungkar. Bukan setakat nak benci dan malu tetapi amat malang sekali jika aku katakan orang hari ni amat berbangga-bangga melakukan kemungkaran. Ya Allah, ampunkan dosa umat ini. Uhukkk..

Hari demi hari, keadaan umat dilihat tidak menampakkan kemajuan dari segi penghayatan agamanya yang mengundang kekhuatiran dan kebimbangan kepada mereka yang sentiasa mengambil berat nasib umat ini.

Gejala-gejala yang entah dari mana datangnya menjadi amalan harian para remaja kita. Budaya hedonisme yang melampau seolah-olah umat ini tidak memikirkan kematian selepas kehidupannya.

Gaya hidup manusia yang mendaulatkan materialistik dan bertuhankan hawa nafsu semata-mata telah mencampak jauh prinsip ketauhidan kepada Tuhan yang satu. Apa yang paling membimbangkan rosaknya akidah umat yang membawa kepada kemurtadan yang merupakan jenayah yang paling besar terhadap agama. Ya Allah, ampun dosa umat ini…

Melihat kepada senarai yang panjang ini, membuatkan aku berfikir sendirian, apakah yang telah terjadi kepada umat ini? Di manakah pegangan agama sehingga terjerumus ke dalam kerosakan yang hebat ini dan banyak lagi persoalan-persoalan yang menuntut kita berfikir dan bermuhasabah kembali nasib yang menimpa umat di akhir zaman ini.

Kunci kepada segala permasalahan ini adalah kegagalan SEMUA lapisan umat untuk menghayati ajaran Islam yang sebenar serta kecuaian umat dalam menggalas tugas sebagai daie ilallah penyeru kepada agama Allah s.w.t.

Kegagalan institusi agama dalam melaksanakan tugasnya serta menyampaikan ajaran Islam yang tulen, kegagalan institusi keluarga dalam mendidik anak-anak dengan acuan Islam.

Kegagalan institusi masyarakat dalam membimbing masyarakat berpandukan ajaran Islam serta kecuaian pihak-pihak yang berwajib menyediakan persekitaran yang membenihkan rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Maka kegagalan dan kecuaian yang berpunca dari kelesuan dalam menghayati dakwah inilah yang membawa kepada kesan negative kepada umat keseluruhannya.

Oleh yang demikian setiap umat (aku dan korang semua) perlu bangkit dari kelesuan ini. Seterusnya menyusun usaha dalam menghayati dan melaksanakan tugas dakwah berpaksikan kepada kekuatan, kapasiti dan dimensi kemampuan masing-masing.

Apa yang penting, setiap muslim walau apa kedudukan dan gelarannya menjadikan dakwah sebagai agenda hidupnya yang paling penting. Kita bukanlah seorang pelajar, kita bukanlah pensyarah, kita bukanlah penjawat jawatan kerajaan atau swasta, kita bukanlah seorang blogger, kita bukanlah orang melayu, kita bukan juga orang Indonesia, kita bukan orang arab, kita bukan orang india dan bukan dan bukan. Tetapi kita ni umat Nabi s.a.w yang satu telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi Daei ilallah.

Semangat dan roh dakwah seperti inilah yang telah menyerap dalam urat nadi dan hembusan nafas generasi awal Islam hasil didikan langsung yang diterima dari Rasulullah s.a.w. Mereka menjadi umat yang terbaik dalam sejarah umat manusia di atas keimanan yang teguh berserta ketinggian penghayatan mereka terhadap dakwah dan risalah nabawi.

Akhirnya marilah kita merenungi firman Allah yang bermaksud:

“Telah dilaknat orang-orang kafir dari bani Israil di atas lidah Daud dan Isa bin Maryam yang disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat, sesungguhnya amat buruk apa yang selalu mereka perbuat.” (Al-Maidah: 78-79)

Cukuplah ayat Allah ini menjadi satu ancaman kepada lantas mengingatkan kita akan peri pentingnya menjalankan usaha dakwah dan tidak mencuaikannya agar kita sentiasa berada di bawah rahmat Allah yang amat luas dan kita terhindar dari laknat Allah yang amat berat seksanya.

P/s: Kunci kepada segala permasalahan ini adalah kegagalan SEMUA lapisan umat untuk menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar serta kecuaian umat dalam menggalas tugas sebagai daie ilallah penyeru kepada agama Allah s.w.t.

July 26, 2009

Teknologi cahaya kunang-kunang?


Aku tetiba risau melihat keadaan ‘kalkatu’ yang berjalan-jalan tengah malam. Di kampus atau luar kampus. Aku teringat kata-kata seorang ustaz yang ketika itu aku sedang menaiki motor bersama beliau. Kemudian dia bagitau “khairil, kita patut fikir risau tengok keadaan sekarang yangmana perempuan-perempuan suka sangat keluar pada waktu malam tanpa mahramnya” Beliau menyambung lagi “Perempuan yang keluar malam ni ibarat kalkatu yang pada mulanya ada sayap dan akhirnya melepaskan sayapnya” Mungkin korang tak faham apa aku cakap dan aku malas explain panjang-panjang kerana takut aku mengeluarkan fatwa plak. Aku ni bukanlah ulama. Tetapi cuma membentuk fikir risau kita semua. Yang ada kuliah atau ada sebab yang mustahak pada waktu malam tu kira ok lah. Yang risau golongan couple yang merayap malam-malam dengan keadaan pakaian yang 'tidak cukup kain' ! Uhukk.. sedih.

Sama-samalah kita fikir nape perempuan yang keluar malam tu dikatakan kalkatu. Apa-apapun disini aku nak lebih menceritakan tentang kehebatan ciptaan Allah s.w.t. Daripada kalkatu kita beralih kepada kunang-kunang yang begitu indah dan cantik pada waktu malam. Kunang-kunang ni ibarat pelita yang menerangi kegelapan malam. Begitulah iman kita. Jika dulu zaman jahiliah dikatakan zaman kegelapan yang mana keadaan masyarakat ketika itu akhlaknya sangat teruk termasuklah menanam anak hidup-hidup, minum arak dalam tengkorak dan banyak lagilah. Dipendekkan cerita, hasil usaha Nabi s.a.w buat dakwah iman ke atas masyarakat pada ketika itu maka daripada zaman jahiliah bertukar menjadi zaman kegemilangan Islam. Begitulah apabila manusia memiliki iman maka segala yang batil akan lenyap.

Walaubagaimanapun, marilah sama-sama kita fikirkan kehebatan Allah s.w.t pada kunang-kunang yang manusia jarang sekali untuk berfikir tentang kehebatan Allah s.w.t melalui ciptaanNya. Sebenarnya, kecanggihan dan kehebatan teknologi cahaya pada kunang-kunang (kelip-kelip) masih tidak dapat ditandingi hingga ke hari ini. Lampu yang dihasilkan oleh kunang-kunang amat efisyen dan optimum, iaitu 98% tenaga cahaya dan hanya 2% tenaga haba. Sebaliknya lampu ciptaan manusia hanya mengeluarkan kira-kira 5% tenaga cahaya dan selebihnya 95% tenaga haba yang dibazirkan. Lampu pada kunang-kunang juga tidak menjadi panas sebaliknya tetap berkeadaan sejuk.

Siapakah yang telah mencipta kunang-kunang dengan teknologi canggih sedangkan pada ketika itu manusia masih meraba didalam kegelapan dan kepekatan malam. Siapakah pula yang telah mencipta kehebatan unta lalu diambil manafaat oleh manusia bagi menghasilkan volkswagen, kehebatan pepatung bagi menghasilkan helikopter, kehebatan burung buat mengilhamkan kapalterbang dan sebagainya.

Apakah semuanya hanya sekadar hasilan dari teori evolusi Darwin dan berbagai teori evolusi yang lain ? Jawabnya, tidak logik ! Kecanggihan teknologi cahaya kurang-kunang mematahkan teori evolusi Darwin dan mengesahkan kewujudan Allah yang Maha Mencipta kunang-kunang tersebut. Allah Maha Besar.

P/s: Mungkin korang tertanya kenapa perempuan yang keluar malam seperti kalkatu. Sama-sama kita fikirkan terlebih dahulu. Apa-apapun, jom kita contohi kunang-kunang yang menerangi kegelapan. (menjadi umat yang terbaik iaitu amar ma'ruf nahi mungkar)

July 23, 2009

Sekitar berkhidmat di Pejabat Belia dan Sukan?

Alhamdulillah tamat sudah perkhidmatan aku di Pejabat Belia Sukan Daerah Timur Laut, Penang. Kali ni aku nak cerita sedikit sebanyak pengalaman aku semasa mengikuti program yang diajurkan oleh pihak pejabat. Yang paling aku sedih banyak program dibuat pada hari cuti iaitu sabtu dan ahad. Bukan pe, aku nak keluar jalan Allah nak cas iman aku. Jadi sepanjang aku dok berkhidmat kat pejabat tersebut aku jarang sekali dapat cuti kerana mengikuti program yang diadakan tiap-tiap minggu. Maka atas arahan majikan, terpaksa ikut walaupun dalam hatiku pada mulanya amat berat untuk mengikuti program setiap kali hendak diadakan. Bukan apa cuma takut aku akan terkesan dengan suasana yang tidak baik.

Pada kebiasaanya setiap program aku telah dipertanggungjawab oleh majikan untuk jadi fasilitator. Walaupun majikan aku ni seorang yang beragama Hindu tetapi dia amat menghormati aku terutama dalam bab agama. Tapi yang lawaknya kebanyakkan setiap hari, boss akan hantar mesej kat aku sekitar waktu subuh dengan katanya “ustaz, tolong punch kat I, I kena hantar Udik(nama anak dia) ke sekolah, masuk lewat sikit. Tq”. Emm entah nape dia selalu suh aku. Disaat aku mula masuk pejabat Belia dan Sukan, aku telah diberi gelaran ‘ustaz’ oleh boss dan staff-staff disitu. Memang aku rasa kelainan sangat disebabkan aku bukanlah seorang ustaz. Aku baru je nak start. So buat korang-korang tolong jangan panggil aku ustaz ye…aku ni tersangat jahil dan masih dalam belajar lagi dan lagi sehingga tiada lagi. Segala teguran amatlah dialukan untuk memperbaiki diri aku ni.

Di tempat perkhemahan pun sama, semua peserta panggil aku ‘ustaz’ walaupun aku bukanlah ustaz. Walaupun begitu, aku lebih suka bergaul dengan mereka termasuk ada diantara mereka yang gangster, kaki hisap rokok, mat rempit, kaki pukul cikgu sekolah dan macam-macamlah aku jumpa mereka ni. Tapi satu je dalam hati aku, aku cuba tengok kebaikan diorang ni. Walaupun mereka nampak muka jahat dan buat perkara jahat tetapi aku cuba cari kebaikan diorang. Mereka suka senyum, suka bekerjasama, hormat orang lain dan yang paling best mereka suka dengar aku cakap bab agama. Dengan cara aku tengok kebaikan orang lain, maka aku mudah mendekati mereka dengan kasih sayang serta dapat mendakwahkan perkara yang hak.

Dalam banyak program yang diadakan, salah satu program di Causarina Resort, Perak, terdapat kes kecurian yang melibatkan dua biji handphone dan wang telah hilang. Maka pada malam tu, pihak kami telah membuat spoke check untuk mendapat kembali barang yang hilang tersebut. Lawak juga rasanya jika fasilitator yang lain gerpak peserta untuk minum air yang kononnya aku buat air solat hajat. Pastu sorang-sorang peserta pergi minum air tu. Sebelum sampai ke tempat minum air, aku telah mengambil peluang untuk berbisik kepada peserta yang aku rasa mereka sangat percaya pada aku. Aku bisik kat mereka secara personal. “kalau kau ada nampak kawan-kawan kau ambik fon tu maka bagilah kat abg secara senyap, abang takkan pecah rahsia punya”. Begitulah lebih kurang ayat ala-ala menggoda. Lama juga ambik masa pujuk peserta ni. Lama kelamaan, disaat aku penat maka tiba-tiba datang seorang peserta ke arah aku: “ustaz, saya ada nampak kawan saya sembunyikan 2 biji fon kat belakang sana” tunjuk dia ke arah belakang bangunan tandas. Dalam hati aku sedaya upaya berbaik sangka kepada dia yang tidak mencurinya. Pelik jugak tengok dia pergi mendapat fon tersebut yang disembunyikan di tempat gelap malah di celah-celah batang pokok yang buruk. Takpelah yang penting aku merahsiakan perkara ni dari pengetahuan orang lain. Mungkin dia dah taubat maka tak perlu aku sebarkan keburukan dia kat orang lain termasuk fasilitator yang lain dan majikan sendiri. Akhirnya dapat jugalah dua biji fon yang agak mahal itu. Semua yang lain pelik tengok nape tiba-tiba peserta tu bagi kat aku. Aku pun naik hairan. Alhamdulillah sampai sekarang kes tu disembunyikan oleh aku.

Pernah juga satu malam, aku dan kengkawan yang jadi fasilitator telah memberi kesedaran pada peserta. Ala macam biasa kami akan sedaya upaya mengingatkan peserta untuk ingat segala kebaikan ibubapa yang diberikan. Aku plak pasang lagu jasa bonda dan lagu-lagu nasyid yang lain. Pastu mulalah aku pergi peluk budak lelaki sambil gosok belakang (tujuan nak suruh menangis lagi)..hihi.. Pastu.. aku terkejut ada budak lelaki terus pengsan kerana tidak dapat mengawal tangisan yang amat kuat. Tersebak-sebak pada mulanya and then pengsan sehinggalah pagi esok. Huuu naik pucat muka aku dan fasilitator lain.

Pada kebiasaannya juga, selepas aku mengimami solat maghrib dan doa, aku akan mengisi kekosongan program dengan membuat ziarah dari khemah ke khemah. Ala-ala zaman Nabi s.a.w dan sahabat r.a. Aku bergerak dari khemah ke khemah untuk bercakap tentang agama, cakap kebesaran Allah dan memberi nasihat. Semua ini aku sudah terlatih semasa aku keluar di jalan Allah. Tiada daya upaya aku nak lakukan melainkan dengan izin Allah s.w.t. Walaupun suasana perkhemahan tidaklah baik dibandingkan suasana semasa keluar jalan Allah tetapi aku kena teruskan walaupun berada dimana sahaja supaya wujud suasana agama dimana sahaja. Alhamdulillah semua orang yang aku ziarah ke khemah menerima kehadiran aku dengan baiknya.

Pada sebelah pagi pula, aku akan ajak sama-sama peserta yang selalu ikut aku untuk mengejutkan peserta lelaki untuk bangun dan solat subuh secara berjemaah. Memang aku tengok program ni tiada slot untuk pengisian rohani atau ceramah agama. Oleh itu, aku sendiri yang buat program sendiri tanpa ada arahan daripada pihak atasan. Selepas selesai mengimami solat subuh, zikir dan doa maka aku membuat sedikit pengisian melalui kuliah subuh (ala-ala bayan subuh). Kebanyakkan aku cakap mengenai enam perkara yang ada dalam diri sahabat dan diselitkan kisah-kisah tauladan. Alhamdulillah semua peserta lelaki mendengar dengan penuh tumpuan sehinggalah waktu israq nak masuk. Semua perkara yang aku buat ni adalah berdasarkan pembelajaran dan pengalaman aku dalam jemaah usaha atas iman dan amal (orang panggil jemaah tabligh). Amat susah dulu aku nak cakap di depan khalayak ramai tambah lagi cakap bab agama. Alhamdulillah asbab selalu keluar jalan Allah, sedikit-sedikit aku dibiasakan dengan percakapan agama.

Yang paling sedih masa nak berpisah, datang setiap peserta untuk bersalaman minta maaf dan terima kasih pada aku dan pegawai yang lain. Yang paling aku tak dapat tahan, apabila peserta yang kaki gangster, mat rempit dan kaki pukul orang datang pada aku dalam keadaan sedih dan menangis. Aduh sayu bangat aku sit tengok mereka ni. Isk isk isk.., Mereka ni rupanya baik. Kita je salah anggap. Orang lelaki kalau menangis memang susah tetapi bila menangis tu tandanya hatinya baik walaupun perwatakkan adalah jahat. Tiada sesiapa yang dapat bagi hidayat melainkan Allah. Mereka ingin berubah dari berbuat jahat kepada kebaikan tetapi mungkin mereka tidak berkemampuan untuk melawannya hasutan syaitan dan nafsu. InsyaAllah dengan usaha mereka untuk mencari hidayat Allah (termasuk suka mendengar nasihat orang lain), maka Allah akan membuka pintu hidayat. Allah tidak pernah ingin hambaNya gagal tetapi sebaliknya manusialah yang lemah untuk menempah kegagalan.

p/s: Bukan maksud aku untuk berbangga atas apa yang aku buat tetapi hanya untuk berkongsi pengalaman mengendalikan golongan belia yang semakin hari semakin dirisaukan. Lihatlah belia sekarang yang ada di depan mata kita. Ada yang hisap dadah, merokok, merogol anak orang, merempit, dan paling sedih solat ditinggalkan. Solat jika diusahakan akan mampu untuk menghalang perkara mungkar sepertimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t iaitu sesungguhnya solat itu dapat mengcegah fasya dan mungkar. Aku teringat kata-kata yang selalu bagi penekanan kepada mereka “Jangan tinggal solat walaupun kita semua ni jahat tahap mana sekalipun dan jangan tinggal solat walaupun baik tahap mana sekalipun”.

Nasihat aku lagi, tengoklah orang Islam dengan penuh kebaikan dan kasih sayang. Jangan pandang saudara kita kita dengan pandangan yang buruk dan benci. Semua orang Islam adalah baik cuma kadang-kadang mereka tidak pandai menggunakan kebaikan itu pada tempat yang betul. Satu senyuman yang ikhlas menjadi asbab untuk Allah s.w.t masukkan ke dalam syurga. Tapi jangan lupa plak dengan hanya satu kejahatan yang dilakukan seperti buruk sangka pada orang lain akan boleh menyebabkan kita dimurkai oleh Allah s.w.t . Oleh itu, nasihat aku kepada diri sendiri dan semuanya, berusahalah untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan berusahalah untuk tinggalkan kejahatan yang dilakukan. Jangan salahkan orang yang tidak pandai tetapi salahkan pada diri kita yang tidak jumpa, tidak ajar, tidak nasihat dan tidak doakan mereka!

July 17, 2009

Adakah kita menangis kerana takutkan Allah s.w.t ?

Dalam sebuah kitab, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"

Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.


=========================

Jangan malu jika kitorang lelaki yang menangis kerana takutkan Allah s.w.t. Tetapi malulah jika menangis disebabkan perkara yang tidak sepatutnya Lelaki menangis tak macho? Sedangkan salah satu kecantikan bagi seorang lelaki ialah yang mampu menangis kerana ingatan. Air mata lelaki itu terlalu mahal ditumpahkan? Tapi kedengaran seumpama situasi ini menggambarkan bahawa lelaki itu ego? Sebenarnya air mata itulah yang menjadi bukti bahawa kita ini lemah. Bukan hanya wanita sahaja yang layak untuk menangis tetapi lelaki juga berhak untuk menumpahkan air matanya. Cuma bezanya mungkin dengan cara sebagai seorang lelaki.

Betapa seorang hamba itu pasti akan menghadapi dugaan, pasti dan pasti akan menjalani kesukaran dalam hidupnya. Kalau bernasib baik, jarang sekali kesedihan itu menghimpitnya. tetapi andai kasih sayang Allah s.w.t kepadanya begitu kuat, maka akan terhimpitlah dia dalam terlalu banyak dugaan. Cuma yang pasti Allah s.w.t tidak pernah zalim kepada hamba-Nya. Dalam tiap kesukaran pasti dan pasti akan Dia sediakan kemudahan sebagai jalan keluar untuk hamba-Nya, cuma mungkin ada waktunya lama, ada waktunya singkat. Oleh itu bersabar ialah kekuatan, dan orang yang mampu bersabar dengan tiap dugaan dan kesukaran yang jatuh kepadanya pasti dan tidak syak lagi adalah orang yang paling hebat yang pernah wujud.

Nabi s.a.w sendiri, tatkala malam bertandang, saat sujudnya sentiasa ada tangisan yang keluar, sedangkan dia insan pilihan, namun baginda s.a.w tidak pernah lupa dengan sifatnya sebagai hamba yang pasti dan pasti memerlukan Allah s.w.t sebagai pembantu dan penunjuk arah. Kerana itulah, nabi s.a.w menyuruh kita mengeluarkan air mata ketika berdoa, andai tak mampu buat-buatlah menangis pada permulaannya. Nabi berdoa agar sentiasa diberikan peluang untuk menangis setiap kali doa ditadahnya.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W,

" Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."

Tetapi pada hari ini, kita menangisi untuk perkara dunia. Kita akan menangis andai tidak mempunyai harta sedangkan dalam kemiskinan itu bukanlah penghujung kepada kehidupan. Syaitan tidak takut jika dunia datang pada kita tetapi syaitan akan menakutkan kita dengan cara dunia hilang daripada kita. Jika hari ini kita ada banyak wang, maka syaitan akan tipu kita supaya jangan bersedekah supaya wang tidak berkurangan. Sedangkan hadith Nabi s.a.w pernah bersabda bahawa tidak akan miskin orang yang bersedekah. Pilihlah yang mana satu jalan yang kita harus yakini sebagai seorang yang beriman dan beramal soleh. Sepatutnya kita harus menangis jika tidak merasakan manisnya iman disaat menunaikan perintah Allah s.w.t dan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w.

Kita telah ditipu kerana kita menangis apabila ditinggalkan kekasih, sedangkan pada penghujung waktu hayat ini pasti dan pasti kita sendiri meninggalkan orang yang kita kasihi di dunia. Kita lupa, sepatutnya air mata yang diberikan Allah s.w.t digunakan untuk memikirkan dan merisaukan keadaan umat yang menderita sekarang dan ditangisi atas dosa-dosa yang dilakukan.

Kita seringkali ditipu kerana kita menangis mengenangkan masa lampau yang sentiasa menghantui hari-hari kita. Masa lampau adalah sejarah dan pasti tidak akan dapat diputarkan kembali masa dan waktu yang telah berlalu detiknya. Mengingatkan saat indah bersama pasangan kekasih tiba-tiba ditakdirkan Allah s.w.t untuk berpisah akan menyebabkan kita akan mempersalahkan pada takdir.

Meratapinya hanya akan membawa 'kematian' kepada semangat yang sedang berusaha tumbuh dalam hati kita. Yang pasti akan menjadikan kita semakin jauh daripada Pencipta. Yakinlah dengan iman, bahawa Allah s.w.t menarik sesuatu daripada kita kerana Dia mahu menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Dia lebih mengetahui apa-apa perkara yang terbaik untuk kita, lebih dari apa yang kita tahu tentang diri kita, kerana Dia yang mencipta dan mentadbir dunia ini.

Hari ini nikmat air mata itu telah kita salah gunakan. Terlalu banyak air mata yang dibazir untuk sesuatu yang begitu sia-sia. Mengapa mahu membunuh jiwa yang masih mempunyai peluang untuk terus bangkit menghadapi hari esok?

Mungkin pada hari ini, ini kata-kata yang terkeluar daripada bibirku. Tidak mustahil suatu hari nanti, apabila aku berhadapan dengan situasi yang berat, pasti aku menangis juga, cuma aku tidak tahu, aku menangis kerana apa ketika itu???

Apakah air mata yang sia-sia itu juga yang ingin kita jadikan saksi kepada Allah s.w.t kelak? Umat dalam keadaan menderita sekarang, adakah kita menangis memikirkan dan merisaukannya?

Jangan bersedih, kerana dunia ini tidak layak untuk ditangisi.

"Andai dunia ini berharga hatta hanya sebesar kepak nyamuk sekali pun, pasti akan diharamkan walau setitis air kepada orang-orang kafir. Tetapi kerana dunia ini tiada nilainya, maka Allah memberi kepada kafir dan orang-orang berdosa tanpa batasan" (Al-hadith)

Blog Widget by LinkWithin