April 24, 2009

Kenapa kita perlu fikir dan risau?

Nabi Musa AS suatu hari sedang berjalan-jalan melihat keadaan ummatnya. Nabi Musa AS melihat seseorang sedang beribadah. Umur orang itu lebih dari 500 tahun. Orang itu adalah seorang yang ahli ibadah. Nabi Musa AS kemudian menyapa dan mendekatinya.

Setelah berbicara sejenak ahli ibadah itu bertanya kepada Nabi Musa AS, Wahai Musa AS aku telah beribadah kepada Allah SWT selama 350 tahun tanpa melakukan perbuatan dosa. Di manakah Allah SWT akan meletakkanku di Syurga-Nya?. Tolong sampaikan pertanyaanku ini kepada Allah SWT. Nabi Musa AS mengabulkan permintaan orang itu.

Nabi Musa AS kemudian bermunajat memohon kepada Allah SWT agar Allah SWT memberitahukan kepadanya di mana ummatnya ini akan ditempatkan di akhirat kelak. Allah SWT berfirman, "Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepadanya bahawa Aku akan meletakkannya di dasar Neraka-Ku yang paling dalam".

Nabi Musa AS kemudian mengkhabarkan kepada orang tersebut apa yang telah difirmankan Allah SWT kepadanya. Ahli ibadah itu terkejut. Dengan perasaan sedih ia beranjak dari hadapan Nabi Musa AS.

Malamnya ahli ibadah itu terus berfikir mengenai keadaan dirinya. Ia juga mulai terfikir bagaimana dengan keadaan saudara-saudaranya, temannya, dan orang lain yang mereka baru beribadah selama 200 tahun, 300 tahun, dan mereka yang belum beribadah sebanyak dirinya, di mana lagi tempat mereka kelak di akhirat.

Keesokan harinya ia menjumpai Nabi Musa AS kembali. Ia kemudian berkata kepada Nabi Musa AS, "Wahai Musa AS, aku rela Allah SWT memasukkan aku ke dalam Neraka-Nya, akan tetapi aku meminta satu permohonan. Aku mohon agar setelah tubuhku ini dimasukkan ke dalam Neraka maka jadikanlah tubuhku ini sebesar-besarnya sehingga seluruh pintu Neraka tertutup oleh tubuhku jadi tidak akan ada seorang pun akan masuk ke dalamnya".

Nabi Musa AS menyampaikan permohonan orang itu kepada Allah SWT. Setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa AS maka Allah SWT berfirman, "Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepada ummatmu itu bahwa sekarang Aku akan menempatkannya di Syurga-Ku yang paling tinggi".

=====================

Kita semua adalah satu umat dan setiap kita dipertanggungjawabkan ke atas umat. Kita perlu fikir dan risau pada diri sendiri, ibubapa, adik beradik, orang kampung dan seluruh umat agar semua mendapat hidayat taufik. Dalam doa kita perlu untuk doa pada Allah bagi hidayat pada diri kita dan umat seluruh alam.

Daripada kisah di atas, kita perlu faham bahawa kita ini bukan sahaja umat ibadat (abid) tetapi kita umat dai (dakwah) iaitu kita beramal dan kita juga ajak orang lain kepada amal. Kita tak boleh pentingkan diri kita sendiri.

Allah s.w.t berfirman : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh manusia berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara mungkar (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah s.w.t. (ali-Imran:110).

Jika dilihat di dalam persekitaran kampus, pusat Islam telah buat kajian dengan menyatakan bahawa hanya 20% sahaja yang menjaga solat. Dimanakah lagi 80% orang yang seagama dengan kita? Tambahan plak solat subuh ramai orang yang terlepas.

Sepanjang tiga tahun aku kat USM ni, aku melihat pada waktu pagi penuh dengan sunyi sepi, pintu tidak dibuka sehinggalah terbit matahari. Sehingga aku terpaksa minta izin setiap kali buat ziarah untuk ketuk bilik setiap kali nak solat subuh.

Aku sudah banyak berbaik sangka sehingga aku baik sangka mungkin ramai yang ambik air wuduk dalam bilik dan solat dalam bilik kot. Macam-macam dah aku baik sangka.

Ya Allah, kadang-kadang pagi aku sedih sepanjang hari apabila teringat ramai orang yang meruntuh agama. Takkan aku dan anda semua harus berdiam diri? Oleh itu, setiap hari kita perlu gerak untuk jumpa manusia mendakwahkan kepentingan kalimah toyyibah, solat, ilmu dan zikir, ikramul muslimin, ikhlas niat dan dakwah dan tabligh.

Apabila kita selalu gerak atas maksud kerja dakwah, Allah s.w.t akan berikan kita fikir dan risau. Sehinggakan apabila kita berdoa utk hidayat diri sendiri dan umat kita akan menangis tatkala teringatkan amalan agama semakin ditinggalkan satu demi satu.

Malah pada beberapa tahun yang lepas, kedengaran isu yang murtad. Kalau dulu kita dengar orang bukan Islam datang pejabat agama Islam untuk masuk agama Islam tetapi beberapa tahun sejak kebelakangan ini terdengar orang Islam pergi pejabat agama Islam utk isi borang keluar daripada agama Islam. Astagfirullah.

Semua salah kita sebab kita main-main dalam usaha dakwah. Sebab itu setiap orang kena ada fikir dan risau terhadap umat bagaimana semua manusia dapat masuk syurga Allah s.w.t. Daripada fikir dan risau ni lah, Allah s.w.t akan mengangkat darjat kita lebih tinggi berbanding malaikat dan makhluk Allah yang lain.

Dinyatakan bahawa seorang yang sibuk beribadat, sepanjang malam bersolat sunat dan sepanjang waktu siangnya berpuasa serta sibuk dengan berzikir adalah tidak mungkin dapat menyamai kelebihan seorang yang resah gelisah dalam memikirkan islam(memperbaiki) dan hidayat untuk orang lain. (Boleh rujuk surah an-Nisa ayat 95 hingga 96).

Cuba kita tanya pada diri kita sendiri, apabila kita terlihat orang yang meninggalkan solat dengan sengaja atau melakukan maksiat pada Allah, adakah kita pernah berkerut dahi kerana risaunya kita? Kalau ada alhamdulillah tetapi bagi yang tidak rasa apa-apa dan menganggap bahawa cukuplah dia sahaja yang dapat beribadat pada Allah tanpa memikirkan orang lain, maka hendaklah difikirkan perkara ini. Tanda solat kita diterima antara salah satunya adalah apabila kita melihat orang yang meninggalkan solat, maka kita berkerut dahi kerana sedih dan risau.

Adakalanya kita tidak merasa risau tentang dosa-dosa kecil yang dilakukan. Orang yang membuat dosa kecil tetapi ia gembira, lama kelamaan akan menjadi dosa besar. Manakala orang yang membuat dosa besar, ia risau bimbang atas dosanya, Allah s.w.t akan memberi taufik untuk bertaubat.

Rasulullah s.a.w adalah mualim tentang iman. Orang yang tidak sedih apabila melakukan dosa, dia tidak akan ada taufik untuk bertaubat. Sebab tu penting kita mempunyai fikir dan risau terhadap iman dan amalan kita.

Setiap orang perlu ada fikir dan risau, macamana semua orang Islam dapat amal agama dengan sempurna dan orang bukan Islam masuk Islam. Nabi s.a.w tidak hanya fikir pada dirinya sahaja tetapi nabi s.a.w fikir untuk seluruh umat. Begitulah juga kita kena fikir dan risau seperti Nabi s.a.w yang mana kita mendakwa mengikuti dan mencintai baginda. Bayangkanlah semasa Nabi s.a.w hendak wafat pun , baginda s.a.w teringatkan akan umatnya.

Untuk fikir, kita perlu fikir seluruh alam. Contohnya jika kita ingin membina rumah maka kita akan terfikir untuk membuat tingkap atau jendela dengan tujuan untuk peredaran angin masuk ke dalam rumah. Cuba kita besarkan niat kita itu iaitu kita bina tingkap supaya kita dapat mendengar suara untuk solat berjemaah. Angin pun dapat, pahala pun kita dapat.

Begitu juga, walaupun kita buat usaha maqami(usaha tempatan), kita perlu niat dan fikir untuk seluruh alam. Kita kena fikir bagaimana semua lelaki yang baligh dapat solat berjemaah di tempat yang dizankan, semua wanita dapat menutup aurat dengan sempurna dan anak-anak dapat mentaati perintah kedua ibu bapa. Perkara macam ni kita perlu fikir dan risau selalu.

Fikir sudah, risau sudah, jadi sekarang kena gerak buat usaha dakwah dengan sungguh-sungguh dan menjaga amal dan malam-malam usaha utk bangkit tahajud utk doa hidayat seluruh alam. Ingat kerja di siang hari (jumpa manusia hanyalah 10% dan kerja malam hari (tahajud, doa) adalah 90%. InsyaAllah semoga Allah s.w.t terima pengorbanan kita semua. Ameen.

Blog Widget by LinkWithin